fbpx

“Semua Orang Lupakan Artis Bila Artis Memerlukan”

Susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hangat diperkatakan apabila ada segelintir artis meluahkan pendapat mengenai penggiat seni terjejas apabila terpaksa menghentikan segala aktiviti mereka.

Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang netizen yang berpendapat ramai artis menunjuk kemewahan tetapi boleh pula mahu meminta bantuan daripada kerajaan. Tidak kurang juga ada yang bertanyakan apakah sumbangan artis untuk mendapat bantuan.

Isu hangat tersebut turut mendapat perhatian bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama, Khai dan Rosma yang mengatakan artis juga perlu diberi bantuan kerana mereka menghiburkan rakyat Malaysia.

Kata mereka lagi, jika tiada para artis tiada langsung rancangan hiburan dan yang hanya ada hanyalah berita 24 jam. Malah, tanpa artis tiada lagu raya berkumandang ketika hari raya. Khai dan Rosma turut meluahkan rasa kesal apabila semua pihak melupakan para artis apabila mereka memerlukan.

Terdahulu, Black Hanifah dan Tomok menjadi mangsa kecaman netizen yang mempertikaikan tindakan mereka meminta kerajaan agar tidak melupakan golongan penggiat seni.

Bagaimanapun, Black menjelaskan kenyataannya bukan untuk dirinya tetapi disuarakan bagi mewakili penggiat seni lein khususnya di belakang tabir dan artis veteran.