Akhirnya tampil bersuara mengenai isu hutang dengan Mara (Majlis Amanah Rakyat), pelakon Rozita Che Wan memberitahu dia sudah melangsaikan tunggakan hampir RM1 juta.
Memetik mStar Online, Rozita atau lebih mesra panggil Che Ta berkata dia meluahkan rasa syukur dan sudah tiada kaitan dengan Mara.
BACA: Che Ta Hilang Banyak Kontrak Lepas Viral Isu Hutang
“Alhamdulillah semua dah selesai. Sudah tiada apa-apa kaitan. Cuma saya masih ada hutang rumah yang perlu dibayar. Rasanya semua orang pun tak boleh elak dengan komitmen seperti itu,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata sebelum ini dia mengunci mulut mengulas mengenai isu berkenaan kerana merasakan orang ramai tidak perlu tahu mengenai perkara itu.
“Saya rasa tak perlu nak tampil atau beri penjelasan kepada sesiapa pun. Saya tak ada masalah dengan orang lain. Jadi saya simpan untuk diri sendiri.
“Cuma mungkin sekarang saya semakin matang dan bila mana membabitkan ahli keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta berkata ada di kalangan rakan mula menjauhkan diri apabila dia terpalit isu panas berkenaan namun dia percaya ada hikmah disebaliknya.
“Mestilah ada menjauhkan diri dan Allah bagi ujian agar kita boleh tengok yang mana Allah nak jauhkan daripada kita. Saya fikir positif saja sebab setiap apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.
SUMBER: mStar Online