fbpx

“Semoga Dia Jumpa Wanita Lebih Baik Daripada Saya” – Ellie Suriaty

Sebelum ini hangat diperkatakan apabila pelakon Azri Iskandar memaklumkan bakal berkahwin dengan wanita pilihan hatinya dikenali sebagai Dr. Azra Diera. Pada Ogos lalu, Azri mengesahkan sudah pun bertunang dengan kekasihnya di Kangar, Perlis pada 29 Jun lalu.

Memetik Kosmo, pelakon Ellie Suriaty berkata tidak manis untuknya mengulas mengenai kehidupan terkini Azri apatah lagi mereka bukan lagi suami isteri. Bagaimanapun, Ellie berkata anak-anak sering berkongsi artikel mengenai bapa mereka dengannya.

BACA: “Kami Dalam Fasa Gembira Sebagai Pasangan Yang Sudah Bertunang” – Azri Iskandar

“Mereka selalu berkongsi pelbagai cerita dengan saya termasuk artikel tentang Azri. Saya pun tidak boleh nak bercakap banyak dengan Azri sebab kini sudah jadi orang luar dalam hidupnya.

“Walaupun orang kata saya bekas isteri dan boleh berkomunikasi namun sekarang berbeza, tambahan pula dia sudah ada orang lain,” katanya.

Menurut Ellie, meskipun mereka tidak lagi bersama namun Azri tetap bapa kepada anak-anak mereka dan sudah tentu merasa kasihan jika bekas suaminya itu dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selama 19 tahun hidup bersama, sudah tentulah ada rasa empati. Kasihan sekiranya benar dia memang dipermainkan oleh scammer, kalau boleh pilihlah wanita yang baik.

“Bahkan, dia pun tak pernah bawa anak-anak bertemu dengan wanita tersebut. Individu tersebut wujud tetapi tidak tahu identitinya sehingga hari ini. Bila timbul banyak kekeliruan sebegini, anak-anak yang menjadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ellie sedar kenyataannya itu sering disalah anggap namun jika benar bekas suaminya ingin berkahwin lagi dia harap Azri dipertemukan dengan wanita lebih baik daripada dirinya.

“Bila saya beri komen berlebihan, pihak belah sana akan mula menyindir dan mendakwa saya nak kembali kepada Azri sedangkan tidak sama sekali. Jadi, saya tak mahu komen lebih sebab pasti akan jadi merebak-rebak. Sebaik-baiknya saya diam.

“Kalau dia nak kahwin, semoga dia jumpa yang lebih baik daripada saya. Namun, apabila dia mengeluarkan kenyataan yang merisaukan anak-anak, semua itu perlu dibincangkan,” katanya.

Terdahulu, Azri memohon maaf kerana masih tidak boleh berkongsikan gambar pertunangannya atas permintaan keluarga kekasihnya itu.