fbpx

Seminggu Tak Makan, Nam Ron Nyaris Jadi Perompak

Pelakon dan pengarah, Nam Ron mendedahkan dia pernah terfikir untuk merompak kedai serbaneka kerana kesempitan hidup. Menurutnya lagi, adegan lelaki ditahan polis kerana mencuri makanan dalam filem One Two Jaga itu adalah berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui olehnya, 18 tahun lalu.

Menerusi Twitter Nam Ron berkongsi cerita ketika itu dia baru menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan hidupnya terkontang-kanting serta berbulan tiada pekerjaan.

BACA: “Jika Itu Orang Mahu, Saya Akan Jadi Pembikin Filem Porno”

“Saya menyewa di bilik paling kecil di rumah kedai tiga tingkat. Di bawahnya ada sebuah kedai runcit. Adapun pekerjaan saya ketika itu adalah kru teknikal dan pentas. Bayaran tidak tetap. Ada suatu waktu, saya berbulan tiada pekerjaan. Bila tiada kerja, duit pun tiada. Barang makanan semua habis licin dekat seminggu tidak makan.

“Ingat lagi dalam keadaan lapar saya berdiri di depan kedai runcit berkenaan di bawah rumah. Saya fikir ingin acu pisau dekat juruwang supaya dia serahkan duit. Kalau kena tangkap, saya akan cakap seminggu tidak makan sebab tiada kerja,” tulisnya.

Nam Ron memberitahu dia kemudian bertemu dengan pengarah filem, U-Wei Saari yang sangat murah hati menghulurkan sedikit wang serta berkongsi pengalaman dan nasihat berguna padanya.

“Saya beritahu dia yang saya hampir rompak sebuah kedai runcit. Dia seluk poket seluarnya dan tarik keluar RM50 sambil bercerita kepada saya. Katanya, ketika bekerja di New York dia bawa teksi dan sesekali buat kerja kru produksi filem lucah.”

“Saya tidak pasti betul atau sebaliknya. Apa yang pasti duit RM50 itu membuatkan saya tangguh rancangan ingin rompak kedai runcit itu dulu,” ujarnya lagi.