fbpx

Semakin Membongkok, Zamani Tetap Kerja Cari Dana Untuk Pembedahan

Keadaan fizikalnya semakin membongkok akibat penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok, penyanyi Zamani berkata dia perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera.

Memetik mStar Online, Zamani berkata keadaan tulangnya yang semakin membongkok menyukarkan dia untuk melakukan aktiviti seharian dan bekerja.

BACA: Zamani Sedih Badan Semakin Bengkok, Bakal Jalani Pembedahan

Menurut Zamani, dia bakal menjalani pembedahan tulang belakang di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan masih menunggu tarikh daripada pihak hospital.

“Mengenai kesihatan saya yang terbaru agak kurang baik buat masa ini, cuma saya masih lagi keluar bekerja. Selagi mampu untuk bekerja dan saya akan lakukan walaupun keadaan diri sekarang ini hampir 24 jam sakit.

“Perut saya, belakang badan memang sentiasa sakit tapi saya hanya mengambil ubat penahan sakit dan ubat-ubatan lain yang doktor beri,” katanya.

Tidak dapat menahan sebak, Zamani berkata dia sedang mengumpul dana dengan memenuhi undangan nyanyian bagi melakukan pembedahan.

“Saya sebenarnya sedang kumpulkan dana untuk pembedahan itu, tapi saya tak mahulah meminta-minta pada orang, jadi saya cuba dengan cara buat show.

“Saya harap peminat-peminat dapat sokong untuk saya buat persembahan untuk saya dapatkan dana,” katanya.