fbpx

Semakin Berisi, Elly Mazlein Kini Hamil?

Baru sahaja tiga bulan bergelar isteri kepada Cikgu Azlan, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein dihujani pertanyaan daripada netizen sama ada dirinya sedang hamil berikutan badannya yang kelihatan berisi.

Bagaimanapun, menerusi perkongsian video di laman YouTube miliknya, Elly berkata badannya semakin berisi kerana sangat bahagia disamping suami dan anaknya. Menurut Elly, dia bersedia berkongsikan berita gembira itu apabila sampai waktunya nanti.

BACA: Elly Mazlein Luah Rasa Bahagia Bapa Sayang Suami Baru

“Buat masa sekarang, badan saya naik sebab saya sangat bahagia dengan suami, anak dan keluarga.

“Insya-Allah, kalau betul saya mengandung, jangan risau saya akan beritahu semua khabar berita gembira ini,” katanya.

Menerusi video itu, Elly turut bertanyakan mengenai spekulasi itu kepada suaminya, Mohamad Azlan Che Noh yang berkata biarlah perkara itu menjadi rahsia terlebih dahulu.

“Rahsia. Tak boleh beritahu lagi. Nanti tunggu berita selanjutnya. Kalau ada yang baik, kita akan beritahu,” katanya.

Dalam pada itu, Elly sempat berseloroh mengatakan dirinya tidak sabar memiliki cahaya mata bersama suaminya itu.

Elly dan Azlan diijabkabulkan pada 18 Januari lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, Elly memiliki cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia Azmi yang kini berusia tiga tahun.