BDS Malaysia menggesa kerajaan menamatkan semua hubungan dan kontrak dengan Amazon Web Services (AWS) susulan keputusan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze atas faktor keselamatan negara.

Pertubuhan itu berkata, langkah sama wajar dikenakan terhadap AWS yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel menerusi penglibatan dalam Projek Nimbus.

Menurut BDS Malaysia, pihaknya menyambut baik arahan kerajaan melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, selain seruan kepada orang ramai supaya berhenti menggunakan aplikasi berkenaan.

“Kami menyokong penuh arahan tersebut yang dikeluarkan demi memastikan keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia tidak dikompromi oleh Waze, sebuah syarikat berpangkalan di Israel, sehingga memberi manfaat kepada rejim Zionis yang mengamalkan dasar aparteid dan melakukan genosid.

“Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa terdapat satu lagi entiti yang wajar dikenakan tindakan serupa, iaitu AWS,” katanya dalam satu kenyataan.

BDS Malaysia berkata, pihaknya bersama 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebelum ini pernah membangkitkan isu penglibatan AWS dalam Projek Nimbus menerusi kenyataan bersama pada 6 Oktober 2024.

Katanya, AWS didakwa bersubahat dengan Israel dalam tindakan genosid di Gaza menerusi projek berkenaan dan tidak sepatutnya diberikan ruang di Malaysia sekiranya kerajaan benar-benar berpegang kepada perjuangan pembebasan Palestin.

“Pemberian projek kepada entiti yang menyokong genosid seperti AWS di Malaysia akan membolehkan syarikat itu mengakses data sensitif kerajaan Malaysia, sekali gus berpotensi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

“Keadaan ini jelas bercanggah dengan tujuan asal larangan penggunaan aplikasi Waze,” katanya.

Sehubungan itu, BDS Malaysia menegaskan kerajaan perlu menunjukkan pendirian yang konsisten dalam menangani sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk yang didakwa berpunca daripada hubungan dengan AWS.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya konsisten dengan pendiriannya yang wajar dipuji dalam menjaga keselamatan negara, dengan menamatkan semua hubungan dan kontrak bersama AWS.

“Jika tidak, kerajaan akan dilihat seolah-olah terlalu bimbang terhadap ancaman kecil, tetapi pada masa sama mengabaikan ancaman yang jauh lebih besar,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) pada 20 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa orang ramai beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan maklumat dan data peribadi.

×