fbpx

Baru-baru ini perkongsian pengacara popular Datuk AC Mizal menjadi perhatian apabila menghadiahkan anak lelakinya kereta mewah Mercedes Benz C300 dianggarkan bernilai lebih RM300,000 sempena ulang tahun ke-18.

Memetik Harian Metro, AC Mizal berkata pemberian kereta itu untuk Muhammad Reeve Damien adalah untuk mengajar anaknya menjadi lebih dewasa.

BACA: AC Mizal & Isteri Hadiahkan Anak Kereta Mewah Sempena Hari Jadi Ke-18

Tambah AC Mizal lagi, dia dan juga isterinya atin Emylia Rosnaida sudah pun menyiapkan stesen TV untuk diwarisi anaknya kelak.

“Sebenarnya pemberian itu supaya dia jadi lebih dewasa dan bukan budak-budak lagi. Saya dan isteri pun sudah siapkan stesen TV untuk dia warisi, jadi sudah tiba masanya dia lebih matang dalam menjalani kehidupan dan berdikari.

“Tiada istilah mahu manjakan anak kerana saya menganggapnya perkara normal. Saya sudah bekerja kuat selama ini dan apa salahnya untuk saya hadiahkan anak saya kereta.

“Walaupun ada yang berpendapat sebegitu selepas saya kongsikan di media sosial, tapi saya tiada niat nak cerita kepada orang kerana pengikut dia media sosial juga ada ramai kenalan saya.

“Saya bukan nak bagi contoh kepada ibu bapa lain, tapi lebih kepada diri sendiri nak hadiahkan sesuatu kepada anak. Saya pun dah tua jadi sudah tiba masanya saya menikmati kehidupan ini bersama keluarga,” katanya.

Kata AC Mizal lagi, pada awalnya dia mahu menghadiahkan kereta sport dua pintu, namun anaknya menolak apabila memikirkan sukar untuk membawa ahli keluarga nanti.

“Saya dan isteri memang sudah lama menyimpan impian untuk belikan Damien sebuah kereta sebaik dia berusia 18 tahun.

“Pada awalnya saya tawarkan dia kereta ‘sport’ dua pintu tapi dia menolak kerana alasannya nanti susah nak bawa nenek, adik serta famili. Dia nakkan kereta yang miliki empat pintu dan kami pun akhirnya memilih Mercedez Benz C300 selepas pa uji beberapa kenderaan lain.

“Ketika saya belikan kereta ini dia akui takut dan bimbang jika kereta itu tercalar atau terbabit kemalangan, tapi saya cuba yakinkan dia kerana tiada seorang pun bawa kereta untuk langgar orang,”katanya.