fbpx

Selepas 34 Tahun, Tiz Zaqyah Akhirnya Jumpa Abang Kandung

Tinggal beberapa hari lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, pelakon Tiz Zaqyah menerima khabar gembira apabila akhirnya bertemu dengan abang kandung sebapa.

Memetik Kosmo, Tiz berkata dia tidak pernah mengetahui kewujudan abang kandungnya itu sejak 34 tahun lalu. Menurut Tiz, dia sangat bersyukur kerana impiannya untuk mempunyai seorang abang selama ini akhirnya dimakbulkan Allah.

BACA: Tiz Zaqyah Pula Positif Covid-19

“Memang impian saya selama ini untuk memiliki seorang abang dan akhirnya termakbul. Saya rasa sangat bersyukur. Perasaan saya bercampur-baur. Inilah keajaiban bulan Ramadan,” katanya.

Berkongsi cerita, Tiz berkata dia bertemu dengan abangnya dikenali sebagaii Zacky ketika menghadiri sebuah majlis di Singapura pada 23 April lalu. Katanya, abangnya juga selama ini turut mencarinya namun belum ada rezeki untuk bertemu.

“Kebetulan saya ada di Singapura. Bila abang dapat tahu, dia hubungi pihak penganjur program menerusi nombor dalam Instagram. Sebenarnya abang sudah lama mencari saya.

“Bila saya dimaklumkan ada seseorang mahu berjumpa, saya betul-betul tidak tak sabar dan dapat merasai sesuatu. Saya tidak berfikir panjang untuk bertemu dengannya,” katanya.

Ketika pertemuan itu, Tiz berkata abangnya itu berkongsikan gambar bapa mereka serta dokumen kelahiran dan sememangnya individu itu adalah abangnya.

“Masa jumpa, dia tunjukkan gambar hitam putih ayah kami dan macam-macam lagi seperti dokumen lahir. Terbukti memang sah kami adik beradik. Saya bersyukur tidak terhingga. Teruskan mendoakan kebahagiaan untuk kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Tiz berkata abangnya mendapat tahu bahawa dia adalah adik kandungnya sejak dua tahun lalu apabila ada rakan meminta untuk melihat Instagram Tiz ada berkongsikan foto bapanya.

“Abang dapat tahu kami ada pertalian dua tahun lalu apabila rakannya minta dia tengok Instagram saya kerana muka ayah kami sama.

“Dia (abang) berusaha untuk menjejaki saya, namun tiada rezeki apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sebelum ini, Tiz turut berkongsikan kebahagiaannya apabila bertemu dengan abangnya di Instagram. Tiz turut menyifatkan Ramadan kali ini adalah yang paling indah.