fbpx

Sekolah Dibuka Semula 15 Julai Ini

Sesi persekolahan sekolah menengah bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid tahun 5 serta 6 di sekolah rendah yang ditangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas akan disambung semula bermula 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika mengumumkan perkara itu berkata tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga tahun empat pula ditetapkan pada 22 Julai ini.

Beliau berkata tarikh pembukaan semula sekolah itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan, katanya.

Mohd Radzi berkata KPM menetapkan tiga model yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing semasa pengoperasian pembukaan penuh sekolah kelak.

Katanya tiga model berkenaan adalah Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.

Beliau berkata Model Satu Sesi adalah bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.

Model kedua, iaitu Model Dua Sesi adalah bagi sekolah sedia ada yang sudah beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Mohd Radzi berkata Model Penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi di mana kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, katanya murid tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari, manakala kehadiran murid tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

Ujarnya pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid.

“Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari dengan keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan,” katanya.