fbpx

“Sekarang Saya Belajar Bataskan Pergaulan”

Sudah lama rasanya kita tak dengar cerita mengenai pelakon Tasha Shila, malah tiada lagi dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Selepas berdepan pengalaman pahit gagal dalam percintaan, Tasha mengakui serik untuk berkongsikan kisah peribadinya.

Menurut Tasha, dia kini lebih berhati-hati untuk berkongsi isi hati dan cuba mengelak daripada terlalu terbuka meluahkan kisah peribadi kepada umum.

BACA: Tasha Shilla Tak Risau Lambat Jumpa Jodoh

“Dahulu, saya teruja dan ghairah berkongsi apa sahaja perkara, termasuk hal peribadi. Mungkin kerana usia masih muda, saya tidak berfikir panjang, sedangkan tanpa saya sedari, tindakan itu sebenarnya memakan diri.

“Namun, sekarang saya lebih selesa hanya berkongsi perkara berkaitan kerjaya. Selebihnya, biar saya simpan sendiri. Cara itu membuatkan saya lebih bahagia,” katanya kepada BH Online.

Kata Tasha lagi, pengalamannya berdepan kemurungan membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih kawan dan lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga.

“Apa yang berlaku membuka mata saya untuk mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Ketika saya jatuh dan sakit, keluarga menjadi nadi yang menguatkan semangat saya untuk kembali bangkit meneruskan hidup.

“Dahulu, saya seronok setiap kali keluar dan dapat bersama kawan. Memang kawan saya ramai, tetapi sekarang saya belajar bataskan pergaulan.

“Saya juga tidak lagi gemar membuang masa di luar. Lebih baik saya bersama keluarga dan apabila ada masa terluang, saya akan membaca buku, terutama berkaitan motivasi,” katanya.

Usia sudah mencecah 32 tahun pasti ramai peminat mahu melihat Tasha bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga. Kita doakan yang baik-baik saja untuk Tasha Shila.