Pelakon dan pelawak Jiggy berkata dia sudah pun berbincang dengan isterinya yang juga atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengenai ketidakselesaan isterinya itu mengenakan pakaian renang sewaktu beraksi.
Memetik Harian Metro, Jiggy berkata Dhabitah ada memaklumkan jika ada pihak mengeluarkan format pakaian baru untuk menutup aurat dia akan memakainya.
BACA: Bekas Suami Kahwin Dengan Dhabitah, Elly Pesan Kunci Rumah Tangga Adalah Sabar
“Sebelum kahwin dia sudah ajak saya berbincang banyak perkara termasuk isu pemakaiannya dalam sukan terjun.
“Sebelum kami ambil keputusan berkahwin, dia minta izin terlebih dulu untuk terus aktif sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Namun, jika dia tidak diperlukan, dia akan berhenti awal. Tapi memandangkan pelapis baru pun masih dalam proses pencarian lagi, jadi dia masih berkhidmat,” katanya.
Sementara itu, Jiggy berkata dia sentiasa menyokong serta enggan melayan komen negatif netizen terhadap pemakaian isterinya yang kini beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China.
“Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun. Kalau orang lain nak bercakap, saya tak boleh buat apa kerana mereka akan tetap mencari salah.
“Selagi dia masih diperlukan untuk berkhidmat demi negara, saya akan sentiasa menyokong dan faham situasinya,” katanya.