fbpx

Sebar Munafik 2 Di Laman Sosial, Kena Saman RM100,000

Keghairahan kita menantikan filem baru ditayangkan lagi-lagi filem tempatan adalah satu perkara yang sangat positif. Ia menjadi tidak positif apabila ada pihak yang bertindak memuatnaik secara haram filem berkenaan ke laman sosial. Tidak berdiam diri, Skop Production berjaya membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

BACA: Syamsul Yusof Patah Bahu Kiri Lakon Lagak Ngeri Sendiri

“Saya berharap lebih ramai individu yang melakukan jenayah ini dibawa ke muka pengadilan. Kami mengambil tindakan ini bukan hanya untuk syarikat produksi sendiri, tetapi mewakili industri perfileman tanah air”

“Ramai yang tidak tahu tindakan memuat naik filem tanpa keizinan adalah kesalahan jenayah dan pihak kami bertindak juga hanya mengikut saluran undang-undang,” kata Syamsul Yusof kepada Harian Metro. Malah menerusi perkongsian statusnya di laman sosial, Syamsul menyatakan bahawa selepas ini ramai lagi akan kena.

Mahkamah Tinggi Taiping memerintahkan individu yang bersalah membayar sebanyak RM100,000 kepada Skop Productions selain turut dihalang melanggar hak cipta plaintif-plaintif untuk filem Munafik 2, memuat naik dan mana-mana bahagian daripada filem berkenaan dalam apa-apa bentuk dalam media sosial dan platform lain, tanpa keizinan plaintif-plaintif.

Malah menurut Syamsul, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu betul-betul bertindak dan tegas bagi memastikan perkara sebegini dapat dibanteras sebaiknya. Semoga industri filem tempatan kembali mendapat tempat di hati peminat dan dizahirkan melalui kehadiran ke panggung wayang. (rtky/s)