fbpx

“Saya Tiada Share Satu Sen Pun Dalam Kelab Itu” – Afdlin Shauki

Perkongsian pelawak dan pengarah Datuk Afdlin Shauki dikecam ramai apabila tidak bersetuju sebuah kelab komedi ditutup sementara berikutan kontroversi wanita menangalkan baju dan menghina agama Islam.

Tampil dalam program The Amin Idris Show di Facebook malam tadi, Afdlin menjawab segala persoalan mengenai kontroversi terpalit dirinya itu.

BACA: “Aku Beragama Islam, Melaknat Orang Yang Menghina Islam…” – Afdlin Shauki

Menjawab pertanyaan Amin, Afdlin berkata dia tidak mempunyai sebarang kepentingan atau ‘share’ dalam kelab komedi sebaliknya hanya kasihannya mereka yang mencari rezeki di situ.

“Saya tiada share satu sen dalam kelab ini. Pendirian saya sebagai NGO, nasib adik-adik yang cari rezeki ini bagaimana? Saya tak buat show pun kat situ.

“Saya memandang mengenai periuk nasi orang lain. Tak semestinya mengenai industri komedi sahaja. Kalau ada orang susah yang perlukan bantuan, saya akan bantu,” katanya.

Jelas Afdlin lagi, dia pernah dua kali masuk ke Crackhouse dan mendapati tiada konten yang keterlaluan mahupun melampau ketika berada di situ.

“Kali pertama saya bawa Datuk Seri Aliff Syukri untuk buat stand up. Dan sekali lagi untuk menonton satu show kawan-kawan.

“Memang tiada konten-konten yang teruk dan menghina. Saya bercakap mengenai Crackhouse kerana saya dulu ada restoran komedi yang halal di sebuah kompleks membeli belah. Ia untuk keluarga dan halal tanpa alkohol.

“Crackhouse dibuka terlebih dulu dari saya. Itu tempat pelajar-pelajar buat komedi dan bisnes komedi bukan mudah. Ia tempat adik-adik yang cari rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai pengasas bersama kelab tersebut iaitu Rizal Van Geyzel yang kerap mencetus isu perkauman dalam persembahannya, Afdlin bersetuju jika pelawak itu dikenakan tindakan.

“Jika mereka salah humban dalam jel. Saya tak tahu menahu tentang konten dia. Dia pernah dulu bekerja dengan saya semasa zaman program A Ha!

“Masa itu dia baru bermula. Tapi saya tak tahu bila masa dia buka kelab ini. Saya cakap satu benda sahaja. Kepada pelawak-pelawak, kau buat, kau berani tanggung. Jadi kalau didapati salah, ambil tindakan. Kalau tak salah, terserah pada mahkamah.

“Pada saya apabila saya dapat informasi, saya rasa tak adil dikata tempat itu orang menghina Islam. Yang ditonjolkan satu dua sahaja. Yang beratus lagi konten yang baik bagaimana?,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin berkata jika dia mengetahui awal mengenai hal sebenar, pasti dia tidak akan berada di posisi yang sama ketika ini.