fbpx

“Saya Tegur Kerana Saya Sayang Bakat Mereka” – Mas Idayu

Menegur persembahan pasangan sepupu, Sissy Iman dan Naim Daniel di program Famili Duo baru-baru ini, Mas Idayu berkata tiada sekelumit perasaan benci namun apa yang dilakukannya atas dasar tanggungjawab.

Memetik BH Online, Mas Idayu berkata tindakannya itu adalah amanah diberikan oleh produksi serta mahu melihat pasangan sepupu itu lebih berjaya.

BACA: Kritikan Mas Idayu Buat Sissy Iman Menangis, Netizen Tak Puas Hati

“Sejujurnya, sebelum program bermula lagi, saya sudah pukul canang mengatakan Naim dan Sissy adalah peserta berpotensi. Ini kerana Sissy cerdik dalam ilmu muzik, manakala Naim mempunyai kepakaran dari segi persembahan.

“Justeru, saya teruja apabila mendapat tahu Sissy dan Naim akan tampil dengan lagu Jampi yang susunan muzik diubah kepada genre keroncong. Namun, hasilnya mengecewakan kerana nyanyian mereka sumbang berbanding muzik yang besar,” katanya.

Menurut Mas Idayu lagi, dia menegur kerana sayang akan bakat mereka dan dia marah bersebab kerana mahu melihat mereka berjaya.

“Tiada emak, cikgu atau sesiapa yang akan marah tanpa sebab. Saya tegur kerana saya sayang bakat mereka. Saya mahu mereka lebih berjaya apabila keluar daripada program ini nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Idayu menjelaskan komen tersebut ditujukan kepada Sissy seorang sahaja tetapi kepada Naim  juga yang menjadi pasangannya.

“Kalau dengar komen, saya tujukan kepada Sissy dan Naim. Ini juga bukan serangan peribadi terhadap Sissy seorang. Saya faham perasaan Sissy apabila menangis atas pentas, tetapi niat saya membuat teguran kerana saya perlu bersikap jujur.

“Jika ambil positif apa yang saya katakan dan terus kekal menyertai program realiti minggu depan, dia adalah seorang yang profesional dan dahsyat,” katanya.

Tidak kisah dengan kecaman diterima, Mas Idayu berkata dia hanya menjadi diri sendiri dan itu adalah karakternya serta hanya mahukan yang terbaik buat semua peserta.

“Orang luar nak cakap apapun, terpulanglah. Sebagai juri, saya hanya mahu anak-anak saya menang dan keluar menjadi penyanyi lebih bagus.

“Lagipun, ini memang karakter saya sebagai juri. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain. Benda ini pun berlaku secara spontan dan bukannya dibuat-buat,” tegasnya.