fbpx

“Saya Tawakal & Reda Untuk Terima Aliff Sebagai Suami”

Mengakui sudah kembali ke pangkuan suaminya, pelakon kontroversi Aliff Aziz dan kini sedang hamil anak kedua, Bella Astillah mengesahkan bahawa dia dan Aliff sudah pun rujuk semula pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Bella berkata cukup setakat itu orang luar mengetahui tentang hal rumah tangganya. Ujarnya lagi, dia cuba untuk menyimpan mengenai hal itu tetapi pelbagai spekulasi timbul sehingga ianya berlanjutan.

BACA: Dicaci Rujuk Semula Dengan Aliff Aziz, Bella Astillah Maafkan Netizen

“Buat masa ini setakat itu saja saya mampu kongsi. Itu pun selepas beberapa hari berfikir. Saya rasa sudah memadai apa yang orang luar tahu sekarang. Selebihnya saya nak jalani hidup macam biasa sebab saya percaya masalah wabak Covid-19 ini jauh lebih penting dan harus kita ambil tahu.

“Saya cuba yang terbaik untuk simpan perkara ini dari tahun lalu kerana tahu ini yang akan terjadi di mana artikel akan keluar berlanjutan tanpa usul periksa netizen.

“Bukanlah saya yang nak menghebahkan, malah sudah belajar dari kesilapan lalu. Jika orang bercakap inilah akibatnya kalau suka mencanang hal rumah tangga, saya sebenarnya tidak pernah nak mencanang atau menagih simpati,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bella, tindakannya terdahulu mendedahkan sikap suaminya yang beberapa kali ‘kantoi’ dengan wanita termasuk dua pelakon di media sosial semata-mata untuk memberi pengajaran.

“Apa yang dibuat dulu, saya gadaikan hal rumah tangga akibat orang ketiga. Itu pengajaran hebat bagi mereka yang ingat saya akan berdiam diri apabila tidak dipandang sebagai isteri dan dipijak-pijak.

“Itu pilihan saya waktu itu. Jadi, mereka tidak berani lagi mengulangi perkara sama selepas ini mahupun dengan suami orang lain,” katanya.

Menerusi siaran langsung di Instagram semalam, Bella seakan memberi bayangan akan bersalin pada Julai ini. Dalam pada itu, Bella berkata keputusan untuk kembali bersama suami adalah demi anak mereka, Ayden Adrean kini berusia tiga tahun.

Menjawab pertanyaan peminat yang berharap Aliff tidak buat hal lagi, Bella berkata dia bukanlah manusia sempurna dan dia tidak boleh memberi jaminan bahawa Aliff akan berubah. Namun dia percaya bahawa setiap manusia boleh berubah.

“Saya bukan sempurna. Saya tidak alim. Saya bukan Tuhan untuk cakap Aliff sudah baik dan berubah. Saya tawakal dan reda untuk terima dia sebagai suami.

“Saya tak boleh jamin dia sudah baik sebab saya bukan malaikat. Dia kata nak berubah, kena aminkan. Saya sabar dan percaya manusia itu takkan sampai bila-bila jahat,” katanya.