Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai salah seorang peserta Hero Dewi Remaja 2023, Nina Smith susulan kenyataannya yang tular di media sosial.
Pelakon tersebut dikecam teruk oleh netizen selepas menyatakan dirinya ‘insecure’ apabila namanya Mat Saleh serta mempunyai darah kacukan tetapi berwajah Melayu.
BACA: “Berlakon Dengan Zul Ariffin, Siapa Yang Tak Nak”
Memetik Utusan Online, Nina memohon maaf jika kenyataannya menimbulkan salah faham. Jelasnya, sejak kecil lagi ramai yang seolah mempertikaikan namanya kerana wajahnya tidak seperti kebanyakan gadis kacukan lain sehingga membuatkan dirinya hilang keyakinan diri.
“Sebenarnya perkara itu menjadi kerisauan ibu saya semasa mendaftarkan nama saya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Dia takut jika suatu hari nanti nama Smith itu disalah anggap.
“Namun pegawai di JPN minta untuk kekalkan nama bapa saya, Smith di dalam kad pengenalan saya kerana itu adalah asal usul keluarga saya.
“Saya tidak pernah cakap ‘kelihatan Melayu’ ialah perkara yang buruk. Saya bersyukur dengan wajah saya, banyak rezeki saya dapat. Tapi bila ada yang mempersoalkan, ia jadi sensitif seolah-olah ingin mengatakan ‘Smith’ bukanlah ayah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nina berkata dia faham jika ada yang salah faham dengan jawapannya serta menyangkakan dia malu dilahirkan berwajah Melayu, sebaliknya dia bangga dengan wajahnya.
“Saya tidak bermaksud begitu. Saya bangga dengan wajah saya, kalau pergi ke Amerika Syarikat, mereka sendiri akan cakap wajah seperti ini sangat cantik.
“Cuma mungkin saya tersilap memilih perkataan membuatkan ramai yang salah faham. Saya minta maaf jika jawapan saya menyinggung beberapa pihak, bukan itu niat saya,” katanya.