fbpx

“Berlakon Dengan Zul Ariffin, Siapa Yang Tak Nak”

Tidak dinafikan, masih ramai tidak mengenali Nina Smith. Namun, baru-baru ini nama pelakon berusia 23 tahun itu menjadi perhatian. Ianya gara-gara tindakan beraninya menarik diri di saat akhir dari penggambaran drama Bunga Hati terbitan Zeel Production pada Disember, tahun lalu.

Malah, tindakannya itu turut mendapat teguran pelakon Fauziah Ahmad Daud atau Ogy sehingga perkara itu hangat diperkatakan di media sosial.

Bagaimanapun, Nina berkata perkara yang berlaku itu sudah berlalu dan dia bertindak sedemikian dengan alasan kukuh dimana ketika itu bapanya diserang angin ahmar.

“Saya juga tidak kesal dengan apa yang sudah berlaku itu kerana saya bukanlah pelakon bermasalah. Cuma, insiden pada hujung tahun lalu itu, saya tidak boleh elak kerana membabitkan kesihatan dan nyawa bapa saya.

“Apatah lagi, sudah juga lama saya tidak balik ke Amerika Syarikat (USA) bertemu dengan bapa dan tiba-tiba dapat tahu dia diserang angin ahmar yang teruk,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Nina berkata dia serius untuk menceburi karier seni. Sering ditawarkan watak antagonis, Nina mengakui ianya cabaran buat dirinya.

“Setakat ini, saya sudah terbabit dalam enam drama dan rata-rata watak dilakonkan sebagai antagonis. Saya pun tak tahu, kenapa sering jadi pilihan untuk watak ‘jahat’. Apapun, sebagai pelakon sudah tentu ini cabaran buat saya.

Lagipun, saya hendak memilih watak dalam keadaan industri sekarang pun tidak sesuai. Selain masih baharu dan kurang pengalaman, saya juga belum berpeluang meneroka lebih banyak watak dan ia perlukan waktu.

“Jadi, tidak ada gunanya jika saya bersikap terlalu memilih. Walaupun masih melakonkan watak antagonis, ia sebenarnya bukan mudah. Saya kena bijak dalam mempelbagaikannya dan mencabar juga. Apa-apapun, saya kena berani dan lebih berusaha,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesudiannya jika dapat peluang berlakon bersama pelakon sensasi, Zul Ariffin, Nina berkata dia tidak menolak.

“Berlakon dengan Zul, siapa yang tak mahu. Cuma, saya akan pastikan tawaran wataknya sesuai. Malah, saya juga akan berbincang dengan pengarah untuk sesuatu babak itu sebelum dibuat. Saya tak nak nanti boleh timbul kontroversi.

“Dalam hal ini (babak), sebagai sesama pelakon dan pengarah memang perlu berbincang. Mana yang boleh dan okey, kita buat. Namun, sebaliknya itu kenalah kreatif. Apapun, saya kalau boleh tak mahu terus dipalit kontroversi dengan mudah,” katanya.

Difahamkan, pada Ramadan ini Nina akan muncul dengan drama Antara Ikhlas dan Kaca yang ditayangkan Awesome TV.