Tampil berhijab sejak Ramadan lalu, perkongsian video tarian Fasha Sandha bersama suaminya, Aidil Aziz di Instagram menjadi perhatian ramai apabila ada netizen mempersoalkan pelakon itu tidak lagi mengenakan tudung.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen entri tersebut Fasha tampil menjelaskan bahawa dia masih belajar untuk menutup aurat dan tidak pernah menyatakan kepada umum bahawa dia sudah berhijab sepenuhnya.
BACA: Suami Kongsi Gambar Bercuti, Fasha Sandha Dah Buka Tudung?
“Betul komen dan pendapat adik itu, saya tak pernah cakap dah berhijab sepenuhnya, sama juga macam ada juga beberapa selebriti yang belajar berhijab di bulan Ramadan begitu juga saya.
“Perlahan-lahan belajar, bukan untuk memenuhi kehendak netizen mahupun trend tapi kerana diri sendiri. Saya belajar. Alhamdulillah ada orang bijak komen tentang isu ini. Terima kasih dik sebab doakan kakak yang baik-baik,” tulisnya.
Di ruangan komen, ada seorang netizen mengatakan bahawa Fasha tidak pernah umumkan dia sudah bertudung dan berpendapat pelakon itu berhijab bagi menghormati keluarga mentuanya.
“Setahu saya Fasha Sandha tak pernah cakap pun dia bertudung, pada pandangan saya Fasha hanya menghormati keluarga mentua dia sahaja. Saya berharap Fasha akan bertudung. Betul tak pendapat saya Fasha?” tulis seorang peminat.
Selesa mengenakan tudung sepanjang bulan Ramadan lalu, Fasha berkata dirinya masih lagi dalam proses belajar untuk memakai hijab sepenuhnya.