fbpx

“Saya Tak Perlukan Ayah, Ibu Adalah Ayah Saya”

Usianya kini sudah mencecah 15 tahun, siapa sangka pelakon remaja Puteri Balqis memikul beban yang tidak mampu dipikul oleh orang dewasa.

Tidak hanya berdiam diri apabila maruah ibunya dipijak-pijak, Balqis berkata sebagai anak sudah tentu dia yang akan pertahankan permaisuri hatinya itu.

BACA: “Ayah Lama Menghilang, Kali Terakhir Berhubung 5 Tahun Lalu”

“Apabila ibu dikecam dan dituduh penagih, sudah tentu saya perlu pertahankannya. Saya anaknya, tak mungkin saya hanya mampu memandangnya.

“Apabila bersikap lantang menyebabkan saya dilabelkan suka memberontak. Jujurnya, saya tidak begitu gemar dengan gelaran ini, tetapi apabila difikirkan semula, biarlah…,” katanya.

Balqis berkata ramai yang salah sangka sehingga ada yang menuduhnya mempunyai masalah bipolar dan kecelaruan personaliti.

“Mereka salah tafsir dengan keadaan saya. Bila masa saya ada penyakit bipolar atau kecelaruan personaliti. Saya jadi begitu kerana rentak sekeliling.

“Saya perlu menjadi seorang yang matang kerana tidak mahu diri dipijak-pijak. Tetapi, dalam kehidupan seharian, saya menjadi masih individu yang sesuai dengan usia saya,” katanya.

Dibesarkan tanpa kasih sayang ayah, Balqis mengakui tiada langsung rasa rindu terhadap bapanya yang sudah lima tahun meninggalkannya. Malah, dia juga tiada keinginan untuk bertemu dengan bapanya kerana baginya kini ibunya adalah bapanya.

“Sejak ayah menghilangkan diri, saya tiada keinginan langsung bertemu dengannya, jauh sekali mahu mengungkap perasaan rindu.

“Jujurnya, saya ingin menjauhkan diri daripada ayah. Antara kami memang tiada keserasian. Saya juga tidak memerlukan ayah. Ini kerana ibu adalah ayah saya,” katanya.

Dua tahun lalu, hangat diperkatakan mengenai kehidupan Balqis dan ibunya, Norashikin Abdul Aziz yang hidup melarat pernah mendapat perhatian program Bersamamu.