fbpx

“Saya Tak Habis Sekolah, Tak Ambil SPM, Jangan Contohi Saya”

Pelakon Aedy Ashraf mendedahkan dia terpaksa berhenti sekolah ketika di usia 16 tahun demi menyara keluarganya yang susah ketika itu. Perkara itu dikongsikan oleh Aedy menerusi siri podcast Studio Sembang bersama Amelia Henderson baru-baru ini.

Memetik Harian Metro, Aedy berkata tindakannya membuat pendedahan berhenti sekolah ketika tingkatan empat dan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan untuk ‘dicontohi’ golongan remaja.

BACA: Aedy Ashraf Dedah Berhenti Sekolah Usia 16 Tahun, Pilih Kerja Sebab Keluarga Susah

Menurut Aedy lagi, dia keputusan dibuatnya ketika 14 tahun lalu itu bersebab dan baginya proses untuk menuntut ilmu tidak pernah berakhir.

“Apa yang saya dedahkan baru-baru ini bukanlah bertujuan untuk mengajak golongan muda mencontohi apa yang sudah saya lakukan ketika berusia 16 tahun dulu apabila memilih berhenti sekolah dan tak ambil SPM.

“Bagi saya, menuntut ilmu sangat penting dalam hidup kita dan proses ini (belajar) tidak akan pernah berakhir. Cuma, situasi saya tidak bertuah pada ketika itu (remaja) kerana perlu bekerja bagi menyara keluarga.

“Kalau saya ada peluang belajar sebagaimana orang lain dengan kemampuan kewangan yang cukup, saya akan terus belajar menimba ilmu hingga ke tahap tertinggi yang saya boleh pergi sebab pendidikan itu penting,” katanya.

Sementara itu, Aedy turut menyarankan mereka yan masih bersekolah terus belajar ke peringkat lebih tinggi kerana ilmu itu sangat penting.

“Kepada remaja yang masih bersekolah, saya galakkan agar adik-adik menghabiskan persekolahan itu dan sekiranya ada rezeki ke universiti, teruskan kerana ilmu sangat berguna dalam kehidupan. Jangan mencontohi apa yang pernah saya lakukan.

“Walaupun tidak habis sekolah dan ambil SPM, saya seorang yang suka membaca buku-buku kemahiran, termasuk belajar sendiri secara ‘online’ (atas talian) kerana sedar menuntut ilmu penting dan tidak pernah berakhir,” katanya.