fbpx

Pelakon Aedy Ashraf mendedahkan dia terpaksa berhenti sekolah ketika di usia 16 tahun demi menyara keluarganya yang susah ketika itu. Perkara itu dikongsikan oleh Aedy menerusi siri podcast Studio Sembang bersama Amelia Henderson baru-baru ini.

Menurut Aedy lagi, dia terpaksa membuat pilihan tersebut demi keluarga dan selepas berbincang dengan ibunya yang juga pelakon Liza Zain.

BACA: Amelia Henderson Tak Pandai Masak, Aedy Ashraf Tampil Back Up

“Waktu itu umur saya baru 16 tahun… Kalau saya lakukan dua-dua perkara itu (belajar dan berlakon) saya akan gagal melakukannya.

“Kalau saya pilih untuk teruskan persekolahan jadi kita tidak akan ada duit nak makan sebab kalau sekolah saya tak boleh shooting langsung,” katanya.

Kata Aedy lagi, selepas berhenti sekolah dia memberi fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan serta menghadiri pelbagai uji bakat.

“Apabila saya mula berlakon, saya betul-betul memberi fokus, pergi uji bakat walaupun terpaksa naik pengangkutan awam seorang diri.

“Sebab itu saya bersungguh-sungguh pada lakonan selain banyak belajar termasuk memperbanyakkan membaca tentang ilmu lakonan,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy berkata dia tidak menyesal dengan keputusan dibuatnya malah hasil lakonan diterimanya dapat membantu yuran pengajian kolej kakaknya.

“Saya pernah cakap dengan ibu biar saya cari duit, bagi peluang kakak sambung belajar. Saya bayar yuran pengajiannya di kolej. Ketika itu umur saya baru 17 tahun manakala kakak pula 19 tahun. Itu keputusan paling sukar saya buat dalam hidup tapi saya gembira,” katanya.

Sementara itu, Aedy berkata baginya pelajaran tetap penting namun ketika itu dia tiada pilihan apabila keluarganya berdepan masalah kewangan.

“Saya tahu pelajaran penting dan kalau pada waktu itu saya ada wang, saya akan terus belajar. Masalah utama keluarga kami (ketika itu) adalah kewangan, memang tak ada duit langsung,” katanya.