fbpx

“Saya Sendiri Tak Tahu Mana Anak Saya Sekarang” – Adam Shahz

Pelakon Adam Shahz mendakwa hampir tiga bulan dia tidak dapat berjumpa anak perepuannya berikutan dihalang oleh bekas isterinya pelakon, Fatin Afeefa.

Memetik Kosmo, Adam berkata dia juga tidak tahu dimana anaknya berada sekarang malah Fatin dan juga bekas ibu mentuanya telah menyekat nombor telefonnya.

BACA: “Dah Kahwin, Jangan Lupa Tarikh Naik Mahkamah 26 Januari” – Adam Shahz

“Sebagai bapa, saya sendiri pun tak tahu mana anak saya sekarang. Katanya masuk asrama. Saya tidak tahu apa-apa tentang anak saya sebab pihak sebelah sana (Fatin) dan bekas ibu mentua sekat nombor telefon saya. Jadi saya tidak boleh berhubung dengan mereka,” katanya.

Menurut Adam, ada sumber memberitahu bahawa anaknya telah dimasukkan ke sebuah sekolah asrama tanpa pengetahuannya.

“Apa yang saya dapat tahu, ada sumber cakap anak saya dimasukkan ke sebuah sekolah asrama. Tapi sekolah asrama mana pun saya tak tahu,” katanya.

Adam berkata sebelum ini dia boleh berjumpa anaknya, Ivy Herra Sophia, sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada hari Sabtu dan Ahad namun kesal apabila langsung tidak lagi boleh berjumpa anaknya itu.

“Sebelum ini saya boleh berjumpa dengan Ivy antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Katanya anak saya dimasukkan ke sebuah tempat mengaji. Jadi waktu saya hanya Sabtu dan Ahad setiap minggu. Itu sahaja.

“Sebagai seorang ayah, saya bukan nak minta hak lebih. Tapi bila saya ada cuti, permudahkanlah urusan saya. Adakan masa anak dengan saya. Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Adam turut menjelaskan dia membawa perkara itu ke mahkamah kerana mahukan haknya sebagai seorang bapa bukan untuk bermusuhan.

“Selama ini saya diam. Bila ada desakan, baru saya bersuara. Bukan apa, saya mahu orang tahu apa yang terjadi. Kalau saya terus tutup mulut, takut ada fitnah pula nanti.

“Sebagai bapa saya berhak tahu di mana anak saya berada. Jangan pula selepas ini bila terjadi apa-apa, salahkan saya pula tak ambil tahu tentang anak,” katanya.

Di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, Adam dan bekas isterinya, Fatin Afeefa gagal mencapai kata sepakat berhubung isu hak penjagaan anak perempuan mereka.