fbpx

“Saya Sedia Beri Kerjasama Kepada Pihak Polis”

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai majlis perkahwinan Uqasha Senrose dan Kamal Adli Genting Highlands pada 15 Disember lalu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Memetik laporan Harian Metro, pengarah terkenal, Michael Ang berkata dia sedia untuk memberi kerjasama kepada pihak polis mengenai isu tersebut. Kata Michael lagi, setakat ini tiada tetamu dimaklumkan positif Covid-19.

BACA: Didakwa Langgar SOP, Polis Siasat Majlis Kahwin Selebriti Terkenal

“Saya ada ketika majlis malam berinai dan resepsi Uqasha dan Kamal yang berlangsung di Genting Highlands. Setahu saya semua yang hadir perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Sudah tiga minggu majlis terbabit berlangsung dan Alhamdulillah tiada tetamu yang disahkan positif Covid-19 atau dimaklumkan saya kontak rapat dengan tetamu yang hadir. Semua yang hadir juga wajib mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki perkarangan dewan.

“Seandainya saya dipanggil untuk memberi keterangan saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis bagi memudahkan proses siasatan dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Michael berharap tiada pihak cuba perbesarkan isu tersebut kerana ada lagi isu lebih penting perlu diberi perhatian.

“Saya rasa kes banjir dan rompakan yang berlaku di negara ini perlu lebih diberi perhatian. Tapi kalau wujud kluster Covid-19 pada majlis terbabit boleh lah jika nak ambil perhatian” katanya.

Pada 27 Disember lalu, polis menerima satu laporan berhubung video tular majlis perkahwinan Uqasha dan Kamal yang didakwa tidak mengikut SOP.

Malah, tular video dimana ada tetamu yang hadir tidak memakai pelitup mika serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.