Presiden Seniman, Zed Zaidi mengakui terkejut dan tidak sangka penyanyi dan pelakon lelaki popular ditahan atas dakwaan kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.
Memetik Harian Metro, Zed berkata dia tidak menjangkakan individu tersebut terbabit dalam kes sedemikian.
BACA: Zed Zaidi Sokong Blacklist Artis Kontroversi
“Memang saya sangat terkejut dan kita tidak sangka dia yang terbabit. Tapi, itulah dunia sekarang ini, kita tak boleh jangka.
“Kadang-kadang orang itu baik, tiba-tiba sebaliknya pula. Kadang-kadang orang ini kita nampak ‘jahat’, tapi sebaliknya. Jadi benda-benda ini, memang sekarang sangat sukar dijangka,” katanya.
Bagaimanapun, Zed berkata penyanyi itu belum lagi didapati bersalah dan siasatan terperinci masih dijalankan pihak polis biar undang-undang yang akan menentukan.
Dalam pada itu, Zed turut mengingatkan kepada golongan artis agar berhati-hati serta tidak terbabit dengan perbuatan yang terkait individu di bawah umur dan kanak-kanak.
“Sekarang ini, kalau yang membabitkan gangguan seksual dan juga cabul terhadap kanak-kanak serta di bawah umur memang sangat serius.
“Cuma, kalau isu-isu yang membabitkan artis ini selalu mendapat liputan lebih meluas dan lebih pantas oleh pengamal media serta masyarakat.
“Jadi, kita sebagai artis kena berhati-hati dan jangan buat perkara yang pelik-pelik. Sebab apa, sekarang ini bila artis ditangkap dan dia baru didakwa serta belum lagi bersalah, kita tak boleh terus menuduh,” katanya.
Semalam, hangat diperkatakan mengenai pelakon dan penyanyi popular ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
SUMBER: Harian Metro