fbpx

“Saya Rasa Dunia Ini Macam Sesepi-Sepinya..” – Raisuddin

Selepas sehari lebih pemergian puteri kesayangannya pada Isnin lalu, bapa kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Raissuddin Hamzah berkongsikan kedukaannya selepas bacaan tahlil dan doa selamat secara virtual untuk anaknya malam tadi.

Raissuddin berkata dia hilang kata-kata apabila menantunya Shuib memaklumkan anaknya itu sudah tiada. Ujarnya, dunia ini dirasakan sepi sebaik sahaja menerima perkhabaran tersebut.

BACA: Bapa Siti Sarah Turut Bersedih, Namun Enggan Ditemubual

“Saya tuan-tuan lebih faham perasaan saya. Kalau diminta komen, saya tak tahu macam mana nak jawab. Kalau dulu-dulu, sewaktu bersama dengan Sarah menyertai mana-mana pertandingan, apa sahaja pertanyaan wartawan, mudah untuk saya jawab. Tetapi yang ini, memang payah.

“Cuma yang saya harapkan, doakan Sarah agar tenang di sana. Kita hanya dapat mengenang dan dia takkan kembali lagi,” katanya.

Raissuddin yang kurang sihat apabila turut dijangkiti Covid-19 berkata pemergian Sarah itu adalah ketentuan Ilahi dan takdir yang ditetapkan oleh Allah.

Penyanyi popular sekitar tahun 1980-an itu juga menyifatkan anak keduanya itu seorang yang sangat taat kepada orang tua dan sangat manja dengannya. Ujarnya, sehari sebelum ke hospital, Sarah datang kepadanya dan memegang tangannya namun tidak berkata apa-apa.

“Dia seorang anak yang sangat baik dan tak pernah membantah dan melawan cakap saya.

“Allahyarham juga seorang yang manja dengan saya. Banyak kenangan manis kami bersama sepanjang 37 tahun hidupnya.Sebelum berkahwin, banyak kenangan manis yang tak dapat dilupakan. Kami banyak bersama sampailah saya lepaskan dia untuk dijaga oleh Shuib.

“Sehari sebelum dia pergi ke hospital, semasa saya sedang baring di atas sofa, dia datang pegang tangan saya Kami berpegangan tangan tetapi tidak berkata apa-apa,” katanya.