fbpx

“Saya Minta Doakan Supaya Saya Terus Istiqamah”

Baru saja pulang dari mengerjakan ibadah umrah, pelakon Daiyan Trisha meminta mereka diluar sana supaya mendoakan dirinya agar terus istiqamah.

Memetik Harian Metro, Daiyan berkata meskipun tidak menutup aurat sempurna namun dia mempunyai matlamat untuk dirinya.

BACA: Daiyan Trisha Nak Nikah Di Mekah

“Saya cuma minta orang doakan supaya saya terus istiqamah. Ia agak berbeza pada setiap individu. Perjalanan hidup saya nak jadi seorang muslimah yang sempurna pun jauh lagi.

“Dan cabarannya pun lain untuk setiap individu. Jadi saya minta orang doakan sahaja sebab setiap kali umrah saya mesti bawa balik diri yang baru di mana walaupun tak tutup aurat tapi saya ada matlamat untuk diri saya sendiri dan apa yang saya boleh berikan kepada semua,” katanya.

Menurut Daiyan, dia kini mengeluarkan selendang dan ia merupakan salah satu usaha untuk dirinya istiqamah serta memudahkan wanita untuk mengenakannya.

“Ini usaha saya untuk istiqamah dan setiap wanita boleh cuba macam nak kenakannya masa Ramadan, hari Jumaat atau apa saja.

“Berkenaan dengan pembabitan dengan agensi peragaan antarabangsa, jika terlalu seksi saya akan cuba tolak. Tapi kebanyakan jenama antarabangsa lebih memahami,” katanya.

Dalam pada itu, Daiyan berkata orang ramai hanya melihat luarannya sahaja dan dia memahami apabila mereka menghakiminya apabila dia tidak bertudung.

“Takkanlah saya balik umrah, apa yang orang tengok hanyalah pakaian saya sahaja. Itu yang paling senang untuk cari salah. Kalau hati ini boleh keluar. Maknanya, boleh nampak tompok-tompok hitam, itu pun kalian ‘judge’. Kalaulah boleh nampak.

“Orang tak boleh nampak hati saya. Apa yang mereka nampak adalah luaran saya. Jadi, saya faham apabila khalayak ‘judge’ (mengadili) saya bila tak pakai tudung,” katanya.