fbpx

“Saya Korban Kasih Sayang Demi Kebahagiaan Fizo Sekeluarga”

Status rumah tangga Fizo Omar dan Mawar Karim akhirnya terjawab selepas pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, pagi tadi.

Mawar berkata sepanjang enam tahun tempoh perkahwinan dia telah berusaha untuk menyayangi Fizo dan keluarga demi rumah tangga mereka. Katanya lagi, sudah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya namun tiada lagi keserasian antara mereka.

BACA: Fizo Omar, Mawar Sah Bercerai

“Selama enam tahun tempoh perkahwinan kami, saya telah cuba dan Fizo telah cuba untuk selamatkan perkahwinan ini.

“Mungkin sampai sini sahaja usaha saya untuk mencari keserasian antara Fizo dan keluarga. Saya korbankan kasih sayang saya demi kebahagiaan Fizo dan keluarga,” katanya kepada Kosmo!

Mengakui masih menyayangi Fizo, Mawar berkata masih terlalu awal untuk mengulas lanjut soal memberikan peluang kedua kepada pelakon itu.

Difahamkan, Mawar sebelum ini menfailkan permohonan cerai pada 5 Julai lalu. Dalam pada itu, hak penjagaan anak mereka iaitu Wan Maryam yang kini berusia dua tahun diberikan kepada Mawar.