fbpx

Sebut saja nama Ifa Raziah, pasti ramai tahu baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai penyanyi itu oleh netizen di media sosial. Terbaru, penyanyi berusia 47 tahun itu akan muncul dalam program terbaru TV3 iaitu Terpaling Juara.

Ibarat ‘sirih pulang ke gagang’, Ifa berkata dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan kritikan dan kecaman netizen sebelum menerima tawaran sebagai peserta program tersebut.

BACA: “Kau Ingat Gelek Aku Free Ke? Semua Gelek Aku Masuk Duit Tau” – Ifa Raziah

“Saya kalis kecaman. Kalau tidak, tiadalah saya di sini (dunia hiburan) selama 27 tahun. Kecaman tidak mendatangkan kudis kepada saya. Sebenarnya, kecaman itu bagus untuk diri saya agar berpijak di bumi nyata.

“Kita kena ambil tahu dan dengar kecaman orang ramai. Semuanya untuk kita memperbaiki diri. Melalui kecaman, barulah kita tahu kelemahan diri. Jadi, kita boleh betulkan diri kita. Saya ambil kira kecaman atau teguran diberi,” katanya.

Tampil menjelaskan mengenai isu terpalit dirinya baru-baru ini, Ifa berkata majlis dihadirinya itu terbahagi kepada acara aqiqah dan sambutan ulang tahun perkahwinan.

“Saya penyanyi dangdut. Jadi, apa yang saya kena buat adalah menyanyi, menghibur dan bergelek. Selama ini, gelek yang beri saya makan.

“Acara aqiqah berlangsung pada awal majlis, iaitu ketika waktu Maghrib hingga Isyak. Selesai aqiqah, acara ulang tahun perkahwinan pula.

“Saya bergelek selepas persembahan Liza Hanim. Kami buat persembahan sempena ulang tahun perkahwinan pihak yang menjemput saya,” katanya.