fbpx

“Saya Hari-Hari Berdoa Supaya Dapat Sertai Sepahtu”

Bakal beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021, Man Raja Lawak berkata dia mempunyai misi serta mahu melakukan persembahan konsisten setiap minggu.

Menurut Man, dia mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk menambat hati pelawak, Jep agar memilihnya untuk menyertai kumpulan lawak popular, Sepahtu.

BACA: Wang Simpanan Susut, Man Raja Lawak Terpaksa Hentikan Bantuan

“Selepas kami keluar daripada Raja Lawak 5, kami sering kali dapat jemputan show yang sama. Bila saya pernah bergabung dengan Tauke, kumpulan Puteh dan J-Born, jadi Rahim kata kenapa kita buat tak group bersama sedangkan kita dah lama berkawan.

“Jadi saya juga rasa ini peluang saya dan Rahim. Tambah pula sekarang ni Sepahtu sedang mencari lagi seorang ahli. Jadi inilah masanya untuk jual diri saya. Kalau saya boleh serasi dengan Rahim, harapnya saya juga boleh dapatkan sikit perhatian daripada Jep,” katanya.

Dalam pada itu, Man berkata dia sudah lama berharap untuk menyertai kumpulan Sepahtu dan berharap akan mendapat peluang tersebut.

“Saya hari-hari berdoa supaya dapat sertai Sepahtu. Ini pengakuan jujur saya. Ini memang cita-cita saya dan kalau boleh saya berharap agar peminat berikan peluang kepada saya.

“Beberapa minggu sebelum ini, mereka ada menawarkan saya untuk menyertai program mereka secara mingguan sebagai artis jemputan, tetapi jadual saya pula bertindih dengan program dan penggambaran lain,” katanya.

Ujarnya lagi, dia turut berharap agar peminat Sepahtu dapat memberikannya peluang serta dalam masa yang sama boleh mengasah bakatnya jika bersama Sepahtu.

“Setiap minggu pasti ada pelbagai watak yang boleh saya mainkan. Saya memang suka untuk mencuba pelbagai karakter. Saya suka cabar diri saya kerana ingin menjadi pelawak versatile. Bagi saya ini semua rezeki. Kalau ada diberikan peluang, memang saya nak sangat sertai Sepahtu,” katanya.