fbpx

Wang Simpanan Susut, Man Raja Lawak Terpaksa Hentikan Bantuan

Pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak memaklumkan dia terpaksa menghentikan bantuan kewangan kepada individu yang meminta bantuan daripadanya berikutan simpanannya kini semakin susut.

Kata Man lagi, dia tidak dapat meneruskan bantuan berkenaan kerana mahu memberi fokus kepada keperluan keluarga termasuk membantu orang yang dikenalinya.

BACA: Daripada Saiz 38, Man Raja Lawak Dah Muat Seluar Saiz 31

“Sebenarnya, sejak penularan Covid-19 tahun lalu hingga sekarang, setiap hari saya menerima lebih 30 mesej daripada individu tak dikenali di Instagram yang meminta bantuan.

“Jumlah wang diminta pula berbeza-beza dengan pelbagai masalah dihadapi mereka. Ada yang minta saya bayarkan sewa rumah sebanyak RM1,600. Jika saya tak boleh beri jumlah itu, RM600 pun tak mengapa dan dia minta wang dimasukkan dengan segera.

“Ramai juga yang minta RM50. Kalau tak dapat, RM10 pun tak mengapa. Dari pagi hingga malam, saya tak henti-henti menerima mesej Instagram daripada individu yang meminta bantuan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Man berkata ramai yang masih terus mengirimkan mesej kepadanya untuk meminta bantuan namun dia memohon maaf kerana tidak dapat membantu.

“Perancangan saya sekarang dengan wang yang ada ialah untuk meneruskan kehidupan sendiri bersama keluarga dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

“Saya pun tak pasti bila boleh aktif memulakan semula kerja-kerja dalam industri seni. Malah, saya pun dah lama tak ada ‘job’, namun tetap akan terus berusaha mencari rezeki selagi boleh,” katanya.

Bagaimanapun, Man memberitahu dia tidak akan berhenti memberi bantuan jika diberi rezeki lebih selepas ini.