Meskipun sudah hampir enam tahun bercerai dengan pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan, Rita Rudaini meluahkan rasa kesal sehingga kini masih ada pihak tidak berhenti mengaitkannya dengan bekas suaminya itu.

Rita berkata dia hanya berkongsikan tentang kisah anak-anaknya di media sosial dan tidak pernah mengaitkan lagi dirinya dengan Aidil. Tegas Rita lagi, netizen sebenarnya yang masih belum move on dari kisahnya terdahulu.

BACA: Penat Cari Duit, Rita Rudaini Menangis Dalam Bilik Air

“Kisah antara kami sudah pun berlalu sejak enam tahun lalu dan saya tidak pernah sesekali berkongsi mengenai kisahnya di media sosial sejak itu lagi.

“Saya dah move on tapi netizen yang tak move on lagi sebenarnya. Apabila saya kongsikan mengenai anak-anak mereka akan kaitkan posting tersebut dengan bekas suami.

“Ibaratnya, macam saya dan Aidil tidak dapat dipisahkan, siapa yang tak move on ni sebenarnya?,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Rita berharap agar netizen tidak lagi mengaitkan dirinya dengan Aidil memandangkan bekas suaminya itu sudah pun mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri.

“Bagi saya perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan Aidil sudah mempunyai kehidupan dan keluarganya sendiri sekarang,” ujarnya.

Rita dan Aidil Zafuan berkahwin pada 2008, namun bercerai pada September 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.