fbpx

“Saya Cepat Bosan Sebab Itu Hubungan Tak Kekal Lama”

Hatinya masih lagi belum dimiliki sesiapa, Elizabeth Tan mengakui dia mudah rasa bosan dan disebabkan itu hubungan cintanya sebelum ini tidak bertahan lama. Elizabeth juga mendedahkan dia tidak mempunyai ramai kawan kerana sikapnya yang suka menyendiri dan sentiasa berkurung dalam bilik.

BACA: Elizabeth Tan Teruja Berhijab, Peminat Pula Bergaduh

“Mungkin sebab itu susah untuk saya kekal lama dalam perhubungan. Hampir lima tahun dalam industri, tidak mudah sebenarnya untuk sampai ke tahap ini. Saya rasa diri ini membosankan, apatah lagi saya kurang bercakap dan tidak pandai bergaul hingga ada yang menganggap saya pelik,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Elizabeth berkata dia sering membimbangkan sesuatu perkara secara berlebihan sehingga terpaksa menghadkan tawaran persembahan. Ujarnya, masalah itu disebabkan oleh penglibatannya dalam dua bidang seni secara serentak.

Bagaimanapun, pembantu peribadinya banyak membantu dan mengubah dirinya. Katanya lagi, jika tidak kerana pembantu peribadinya itu dia mungkin akan berhenti menjadi anak seni.

“Sepanjang tahun ini, saya hanya ambil dua tawaran persembahan kerana banyak benda yang bermain di fikiran sebelum muncul di atas pentas.

“Jika dia tiada, mungkin saya akan kembali menyendiri seperti dulu.Dia ada bersama ketika saya lari dari rumah dulu. Saya banyak bergantung kepada Atirah dan jika dia tiada, mungkin saya akan berhenti jadi artis,” katanya.