Enggan mengulas lanjut mengenai penampilan barunya yang berpurdah, Natasha Hudson yang dulu lama menyepi kini hangat diperkatakan selepas gambar beliau berniqab tersebar di laman sosial. Bagaimanapun, Natasha menegaskan bahawa perubahan yang dilakukannya bukanlah bertujuan untuk mencari publisiti atau mempromosikan diri untuk kembali dikenali.
BACA: Imej Terbaru Natasha Hudson Tarik Perhatian Ramai
“Jika ingin bertanya mengenai perubahan diri saya, rasanya tiada apa yang perlu diulas lagi. Segala-galanya sudah saya kongsi menerusi blog. Saya berubah bukan untuk mempromosikan diri, malah tidak perlu memberitahu satu dunia setiap langkah yang dibuat. Lagipun, saya tidak lagi berada dalam limpahan cahaya dunia hiburan,” katanya kepada Berita Harian Online.
Untuk pengetahuan, kali terakhir Natasha muncul di televisyen adalah ketika beliau membintangi filem komedi, Mamak Cupcake bersama Shaheizy Sam dan Siti Saleha. Manakala, beliau membuat keputusan untuk berhijab sejak empat tahun lalu dan perlahan-lahan berhenti dalam dunia seni selepas berumah tangga buat kali kedua dengan Mohd Khalid Mohd Kamal.
Terdahulu, Natasha ada berkongsi mengenai penghijarahannya melalui akaun Instagramnya yang menceritakan keinginannya untuk membersihkan hati dan jiwa mengikut panduan kitab Allah. Selain itu, beliau turut berpesan kepada semua untuk mencuri masa ketika muda untuk mempelajari ajaran Islam dengan membaca kitab suci supaya dapat mencantikkan jiwa. (rkty/w)