fbpx

“Saya Bersyukur Andai Ditakdirkan Harris Jodoh Saya”

Timbul desas desus mengatakan pelakon Intan Ladyana dan kekasihnya yang juga pelakon muda Harris Alif bakal disatukan sebagai suami isteri pada Mac tahun depan, Intan menafikan khabar angin tersebut.

Akui terkejut dengan dakwaan berkenaan, Intan berkata dia tidak akan merahsiakan berita perkahwinannya jika sudah tiba masanya. Namun, dia kurang gemar berkongsikan kisah cinta kerana bimbang seandainya perhubungan tidak menjadi.

BACA: “Dia Tak Macam Lelaki Yang Sebaya Dengannya”

“Saya tak pernah pula dakwaan nak berkahwin tahun depan. Ini kali pertama saya dengar. Jika ada, saya akan beritahu. Saya takkan berahsia. Cuma, buat masa ini, saya kurang gemar berkongsi soal peribadi.

“Dari dahulu lagi, saya kurang suka bercerita secara terbuka mengenai kisah cinta kepada umum. Bukan apa, sekiranya perhubungan tidak menjadi, saya tak malu sangat. Jadi, diam lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Meskipun dia kurang berkongsikan gambar bersama kekasih di media sosial namun tidak menghalang Harris untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Intan tidak menolak malah bersyukur jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Harris. Meskipun jarak usia 17 tahun, namun tiada masalah untuk Intan memandangkan Harris seorang yang matang.

“Saya menyerahkan semuanya kepada jodoh. Saya bersyukur andainya Harris ditakdirkan jodoh saya. Setakat ini, saya tiada masalah walaupun jarak usia kami berbeza 17 tahun. Walaupun Harris jauh lebih muda, tetapi dia seorang yang matang daripada usia.

“Biarpun usia baru 21 tahun, tetapi perwatakan Harris tidak seperti remaja sebaya dengannya. Setakat ini, belum pernah berhadapan masalah komunikasi walaupun dia masih muda.

“Saya selesa dan serasi berkawan dengannya. Bagaimanapun, hubungan kami masih baru lagi. Jadi, saya sedang cuba mengenali hati budinya,” katanya.