Kemelut rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah akhirnya bertemu titik noktah selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Mengakui masih lagi menyayangi Bella, Aliff memberitahu bekas isterinya itu sempat menitipkan pesanan memintanya untuk memperbaiki diri dan menjadikan apa yang telah berlaku sebagai petunjuk daripada Allah.
BACA: Aliff Aziz & Bella Astillah Sah Bercerai Talak Satu
“Sejujurnya saya hilang kata-kata dan sebagai manusia biasa saya anggap ini petunjuk daripada Allah untu saya perbaiki diri.
“Saya tak mahu komen lebih-lebih, sekarang ini saya cuma nak perbaiki diri..itu nasihat terakhir Bella dan selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Aliff turut meminta maaf kepada Bella dan keluarga di atas apa yang berlaku. Ujarnya lagi, dia sangat mengagumi kesabaran Bella yang banyak berkorban untuknya selama ini.
“Saya minta maaf kepada Bella dan keluarga, apa yang jadi tadi saya masih tak dapat nak hadam lagi. Bella terlalu banyak berkorban dari hari pertama kami kenal, dia jaga pakai, makan, kerja dan lahirkan anak.
“Sejujurnya saya masih sayangkan dia tapi biarlah Allah berikan ganjaran padanya. Tiada orang yang mampu sabar seperti Bella dan mungkin Allah nak tunjukkan pada saya.
“Sekarang ini nak fokus perbaiki diri, benda pun dah jadi. Saya anggap ini teguran keras daripada Allah dan minta semua mendoakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohd Ayden Adrean berusia dua tahun.