Mendirikan rumah tangga pada bulan lalu, Saharul Ridzwan akui kehidupannya jauh berubah berbanding dahulu. Malah benar kata orang tua, perkahwinan itu membuka pintu rezeki kerana Saharul sendiri mengalaminya apabila bernikah dengan Deena Emir pertengahan September lalu. Bukan itu sahaja, ada berita juga mengatakan isterinya kini sedang bunting pelamin.
BACA: Saharul Ridzwan Enggan Ulas Kisah Isteri Hamil
“Betul yang orang selalu kata, rezeki lepas kahwin itu memang ada. Terma rezeki juga tak tertumpu satu saja, ada orang dikurniakan rezeki bisnes, kerjaya, anak dan sebagainya. Yang saya perlu lakukan adalah percaya bahawa Allah SWT itu akan kurniakan rezeki”
“Insya-Allah, kalau ada saya akan beritahu kepada semua. Saya akan cari masa yang betul-betul sesuai dan akan uar-uarkan kepada semua. Saya bukan nak sorok atau apa cuma bagi saya belum masanya lagi untuk saya berbicara mengenainya,” katanya kepada Utusan Online.
Sebelum ini menerusi ruangan Pok Lip dari Utusan Online, Deena dikatakan sedang hamil dengan usia kandungan masih di peringkat awal. Bagaimanapun, Saharul ketika ditanya mengenai berita kehamilan itu memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu dan enggan mengulas lanjut. Mungkin juga kerana kehamilan isteri kesayangannya itu masih di peringkat awal.
Bagaimanapun, Saharul tidak ketinggalan meminta agar semua peminatnya mendoakan yang terbaik buatnya dan isteri, selain daripada mengharapkan segalanya berjalan dengan lancar. Terdahulu, Saharul juga mendedahkan bahawa berat badannya kini hampir mencecah 90 kilogram sejak berkahwin, memang terserlah kebahagiaan pasangan pengantin baru ini. (rkty/w)