Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 akan menjadi pemangkin kepada ekosistem kerja yang lebih profesional, adil dan mampan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan berkata, RUU itu sekali gus memastikan tiada lagi pekerja gig termasuk karyawan seni yang terpinggir daripada perlindungan sosial.

“RUU Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Ogos 2025 dan menjadi undang-undang pertama di Malaysia yang memberikan pengiktirafan kepada pekerja gig.

“Dianggarkan Malaysia mempunyai 1.12 juta pekerja gig dalam pelbagai sektor, termasuk sektor kreatif yang merangkumi pelakon, kru produksi, penulis skrip, jurukamera, jurusolek, animator, penyunting video dan wartawan bebas,” katanya.

Peserta Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 anjuran FINAS

Bagi memastikan penggiat seni, pekerja industri kreatif, serta wakil persatuan mendapat kefahaman jelas berkenaan RUU itu, Kementerian Komunikasi melalui FINAS menganjurkan Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 di Studio Sound Stage FINAS, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Taklimat itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching diikuti taklimat khas oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Steven Sim menyampaikan taklimat khas

“Sesi ini juga memberikan ruang kepada penggiat seni, pekerja industri kreatif, serta wakil persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Sumber Manusia mengenai pelaksanaan RUU berkenaan,” tambah kenyataan itu.

Turut hadir Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; Presiden-presiden Persatuan Perfileman Malaysia dan penggiat industri.

RUU Pekerja Gig 2025 mengandungi empat teras utama iaitu Definisi, Pendapatan, Mekanisme Penyelesaian Pertikaian dan Perlindungan sosial.

RUU ini akan memberikan Kesan positif iaitu:

i) Melindungi Hak Pekerja Gig; ii) Kewajipan Entiti Kontrak; iii) Mengawal selia terma dan syarat Perjanjian Perkhidmatan; iv) Mekanisme Penyelesaian Pertikaian; v) Penubuhan Majlis Perundingan vi) Tribunal Pekerja Gig; vii) Melindungi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Gig dan viii) Perlindungan Keselamatan Sosial.

×