fbpx

Berdepan dugaan apabila rumah impian yang dibina hasil duit lebih 30 tahun dalam industri seni musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras di Kuala Langat semalam, pelawak Ebby Yus reda dengan ujian tersebut.

Menerusi program MeleTOP Selasa lalu, Ebby dilihat tenang dan masih boleh ketawa ketika bercerita mengenai rumahnya itu. Namun, pengacara program berkenaan iaitu Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sudah bergenang air mata.

BACA: Rumah Ebby Yus Lenyap Dihanyutkan Air

“Kenapa kita harus nak terima benda yang baik-baik saja sedangkan benda tidak baik kita tak mahu terima? Redalah, sesungguhnya di sebalik kesakitan itu ada nikmat yang begitu indah selepas kita sihat atau berdepan kesusahan.

“Nikmat inilah sepatutnya kita tunggu sebab apa yang kita ada hari ini bukan milik kita. Itulah bukti yang amat nyata pada saya walaupun ia sudah ada di bibir, tetapi belum tentu saya dapat telannya.

“Saya faham orang akan cakap saya hanya mampu berkata-kata saja. Syukur Alhamdulillah Allah bagi saya untuk bercakap, tapi saya juga ingin beritahu rumah orang dimasuki lumpur ada orang datang bersihkan tapi rumah saya masuk (ditenggelami) dalam lumpur. Nak bersihkan apa pun saya tak tahu,” katanya.

Kata Ebby lagi, ada mereka di luar sana berdepan ujian lebih hebat daripadanya. Ujarnya, dia pernah diuji dengan penyanyi namun masih diberi peluang untuk bernafas lagi

“Cuma orang kata perancangan kita itu tidak sebaik dengan perancangan Allah. Saya cuba untuk tidak mengalirkan air mata, tapi saya menangis bila tengok orang lain yang lebih dahsyat ujiannya daripada saya.

“Saya dah biasa dengan ujian ini. Saya diuji dengan penyakit hampir dua tahun tetapi apa yang saya bersyukur Allah bagi saya nafas untuk teruskan hidup. Kekuatan ini adalah datang kerana izin-Nya selain sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang pantas memberikan kata-kata semangat. Allah kirimkan kawan-kawan yang hebat di sekeliling saya,” katanya.

Terdahulu, Ebby terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 apabila rumahnya di Hulu Langat yang sudah siap 90 peratus itu musnah dihanyutkan bajir pada Sabtu lalu.