Bagi enam bulan pertama tahun 2025, kediaman berharga bawah RM300,000 muncul sebagai kategori rumah paling banyak tidak terjual di Malaysia.
Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 terbitan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 9,710 unit rumah dalam kategori ini tidak terjual, bersamaan 36.1% daripada keseluruhan, dengan nilai sekitar RM2.3 bilion.
Unit kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 pula berada di tempat kedua tertinggi dengan 7,125 unit (26.5%), diikuti rumah RM500,000 hingga RM1 juta berjumlah 6,951 unit (25.8%). Manakala rumah bernilai lebih RM1 juta merekodkan 3,125 unit (11.6%) tidak terjual.

Secara keseluruhan, 62.6% daripada rumah tidak terjual dalam tempoh ini adalah kediaman berharga bawah RM500,000. Situasi ini menggambarkan pembeli masih berhati-hati menambah komitmen kewangan dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat. Walau begitu, pasaran hartanah tempatan kekal stabil dengan permintaan yang konsisten, dijangka terus disokong oleh pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam yang lebih baik.
Dari segi jenis kediaman, permintaan tertumpu kepada:
- Rumah teres (41%)
- Tanah kosong (19.3%)
- Unit bertingkat tinggi (17.9%)
- Rumah berkembar (7.3%)
- Rumah sebuah (6%)
- Flat kos rendah (6%)
Menariknya, walaupun rumah bawah RM300,000 merekodkan jumlah tidak terjual tertinggi, kategori ini masih mendominasi pasaran kediaman dengan pegangan 53.1%.
Secara menyeluruh, bagi separuh pertama 2025, sebanyak 26,911 unit rumah siap dibina namun tidak terjual, dengan nilai RM16.44 bilion, meningkat 16.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sumber: rnggt.com