Pelakon, Ruhainies menafikan dakwaan dirinya adalah artis yang didakwa menjalankan aktiviti penggubahan wang haram atau ‘cuci duit’ selepas tular gosip mengenai isu berkenaan baru-baru ini.
Memetik Harian Metro, Ruhainis berkata jika dakwaan itu dibuat biarlah secara jelas kerana bimbang individu yang tidak terbabit turut sama terpalit.
BACA: Ruhainies Tiada Masalah Buat Babak Bersentuhan
“Sebenarnya, ada yang DM (mesej di Instagram) dan bertanya, sama ada individu itu adalah saya atau bukan. Alhamdulillah, bukan saya.
“Kalau nak bagi ‘hint’ (pembayang), janganlah setakat ‘hint’. Bagi terus nama, sebab orang lain yang tak terbabit pun, akan dikaitkan juga. “Jadi, kalau nak tulis nama, tulis terus terang,” katanya.
Menurut Ruhainies lagi, hanya kerana laporan itu memberi pembayang ‘artis gebu’, namanya turut menjadi sasaran netizen.
“Bila dikata gebu, bukan ramai sangat yang gebu. Jadi, contohnya, ada 10 orang gebu. Maka, orang akan jadikan 10 orang ini sebagai sasaran dan tak pasal-pasal, terpalit juga,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhainies berkata dia seorang yang bekerja keras serta mengakui tidak dapat mengelak tuduhan daripada netizen.
“Sejujurnya, orang pun tahu bagaimana keras saya bekerja dan masih ada di dalam industri. Kalau ada tuduhan apa-apa, saya tak dapat nak elak.
“Tapi, netizen sekarang pun hebat-hebat. Kalau mereka siasat, mesti mereka akan dapat jawapan. Kalau saya ada buat, mereka mesti tahu dan tak boleh lari sebab Malaysia ini kecil sahaja,” katanya.