fbpx

Royalti P Ramlee Bakal Berakhir Mei Ini, Sazali Hilang Punca Rezeki

Anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali hilang punca rezeki susulan bayaran royalti karya bapanya bakal berakhir pada 29 Mei ini.

Memetik Harian Metro, Sazali berkata dia sudah tidak larat bekerja kerana semakin uzur serta memohon agar tempoh bayarannya dilanjutkan.

BACA: Anak Minta David Teo Mohon Maaf Depan Kubur

“Saya sudah tua, lutut kanan dan pinggul patah akibat kemalangan pada 2015. Memang tidak larat hendak kembali bekerja. Saya bukan mendesak, saya cuma minta tolong.

“Itupun kalau boleh. Kalau tidak dapat, tak mengapa. Itu maknanya bukan rezeki saya. Kalau dapat, bukan untuk saya makan seorang, tetapi semua cucu Allahyarham P Ramlee akan merasa,” katanya.

Sazali membuat luahan tersebut ketika penyerahan sumbangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di kediamannya di Semenyih, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sazali membuat penjelasan tersebut bagi menepis pandangan yang menyifatkan permintaannya seakan sangat terdesak kerana memohon untuk melanjutkan royalti berkenaan.

Terdahulu, Sazali pernah merayu kerajaan menimbang cadangan untuk melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya.

Untuk rekod, tanggal 29 Mei ini genap 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham P Ramlee.