fbpx

Rosyam Nor Anjur Pertandingan Azan, Tawar Hadiah RM110,000

Pelakon Datuk Rosyam Nor menyeru orang ramai untuk menyertai pertandingan azan secara dalam talian menerusi program Muazin terbitan syarikat milik, Suhan Channel.

Memetik Kosmo, Rosyam berkata inisiatif pertandingan itu diadakan adalah bagi meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan yang dilaungkan ketika masuk waktu solat.

BACA: “Sudah Jodoh Syamsul Untuk Kahwin Lagi” – Rosyam Nor

“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati berpeluang menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan yang dibuka kepada ramai secara online.

“Ini juga peluang kepada masyarakat melihat peserta menggunakan kaedah berbeza dalam mengalunkan suara mereka menyampaikan azan.

“Jadi saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya.

Untuk menyertai pertandingan tersebut, peserta perlu memuat naik video laungan azan dalam TikTok, Facebook atau Instagram.

Penyertaan Muazin bermula dari 7 hingga 26 Julai ini dengan menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak. Difahamkan, prestasi dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan nada, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan.

Panel juri pula terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.