fbpx

Rossa Sangkal Sudah Kahwin Kerabat Pahang

Terkejut kerana dikatakan sudah berkahwin dengan kerabat Pahang, penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa tampil menafikan dakwaan berkenaan. Selain itu beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut disamping bimbang dengan tanggapan negatif yang akan diterimanya kesan daripada cerita tidak benar ini.

BACA: Rossa: Buat Konsert Lagi Mudah Dari Berkahwin

“Sebaik membaca artikel yang dikirimkan seorang teman, saya terkejut kerana cara penyampaiannya seolah-olah ada saksi di tempat kejadian, walhal perkara itu tidak benar. Saya tidak marah, tetapi kecewa kerana cerita itu seperti mengesahkan saya berkahwin, kalau gosip, tulislah seperti gosip. Saya berharap orang tidak cepat membuat tanggapan negatif”

“Ramai teman saya di Malaysia termasuk kerabat negeri itu sendiri tidak percaya dengan gosip itu. Mujurlah keluarga saya tidak tahu cerita ini. Apa yang penting, kekasih saya juga tidak percaya cerita itu. Jikalau ada foto yang menunjukkan hal terbabit, tolong kongsikan. Tetapi, jika tiada bukti, tidak elok ditulis,” katanya kepada Berita Harian Online berhubung dengan perkara itu.

Terdahulu, Rossa sekali lagi dihimpit kontroversi apabila didakwa sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan kerabat Malaysia. Namun sekali lagi beliau menafikannya dengan menjelaskan bahawa hubungan yang terjalin itu hanyalah sebagai kenalan baik sahaja sebagaimana beliau sering menerima undangan ke istana untuk membuat persembahan nyanyian. (rkty/w)