fbpx

Suami pelakon MieraLeyana iaitu Rosland Othman menafikan dakwaan serta memberitahu bahawa dia tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib dan anak-anaknya.

Memetik Harian Metro, Rosland memberitahu mahkamah hari ini dia masih menjalankan tanggungjawab meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.

BACA: Bapa Berubah Sikap Lepas Kahwin Miera Liyana, Anak Tak Sanggup Tengok Ibu Derita

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu mendakwa memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

“Sehingga semalam pesanan membeli barang dapur saya tunaikan. InsyaAllah semuanya lengkap seperti ansuran rumah, bil elektrik, perbelanjaan persekolahan dan kad kredit juga diberi, tapi masih keluarkan kenyataan saya tidak bertanggungjawab.

“Saya boleh tunjukkan apa bayaran dia dapat, saya ada beri tunai tidak termasuk perbelanjaan sekolah dan kenderaan sekolah anak,” katanya.

Menurutnya lagi, dia lebih suka menyimpan fakta tersebut di mahkamah meskipun wujud dakwaan mengatakan dirinya tidak bertanggungjawab.

“Tapi masih mengatakan saya tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan nafkah kepada anak-anak sedangkan saya masih beri walaupun saya tidak keluar kenyataan di media, saya suka simpan fakta ini di mahkamah.

“Secara keseluruhan jumlah saya beri lebih RM15,000 hingga RM20,000. Walaupun dalam keadaan ekonomi meleset dan bisnes (perniagaan) tidak menentu, saya beri (nafkah) tapi masih ada tohmahan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, Roslan sebagai plaintif memfailkan nusyuz terhadap isteri pertamanya selepas dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021. Rosland memberitahu pulang awal ke rumah pada jam 6.30 petang hari kejadian, untuk membawa anak mereka keluar namun Adibah tiada di rumah.

Dakwa Rosland lagi, dia sudah beberapa kali berpesan kepada Adibah supaya tidak keluar rumah sebelum dia sampai tetapi defendan ingkar menyebabkan dia menyekat nombor Adibah sehingga kini. Dalam pada itu, Rosland mengakui tidak lagi memberikan nafkah batin kerana mereka sudah tidak sefahaman.

“Seperti saya katakan tadi, saya dan defendan sedang melalui kes nusyuz kerana dia tidak lagi mengendahkan kata-kata saya sebagai suami.

“Selagi kes ini tidak selesai, sudah tentu daripada segi nafkah batin tidak dapat saya tunaikan. Saya dengan dia tidak ada persefahaman dan tidak ada persetujuan lagi bagaimana untuk teruskan, adalah agak sukar,” katanya.