Ronaldo Pemain Bola Sepak Pertama Bergelar Bilionair

Cristiano Ronaldo kini menjadi pemain bola sepak pertama bergelar bilionair, menurut firma maklumat kewangan dan media, Bloomberg.

Bloomberg Billionaires Index yang menjejaki individu terkaya di dunia berdasarkan nilai bersih mereka, buat pertama kali menilai kekayaan penyerang Portugal berusia 40 tahun itu yang kini bermain untuk kelab Al-Nassr.

Penilaian tersebut mengambil kira pendapatan sepanjang karier, pelaburan serta kontrak penajaan, dan menganggarkan nilai bersih Ronaldo berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion).

Menurut laporan, beliau telah memperoleh lebih AS$550 juta (RM2.5 bilion) dalam bentuk gaji antara tahun 2002 hingga 2023, selain menjana pendapatan besar melalui pelbagai perjanjian dan penajaan, termasuk kontrak jangka panjang selama sedekad bersama Nike yang bernilai hampir AS$18 juta (RM80 juta) setahun.

Apabila Ronaldo menyertai kelab Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi pada tahun 2022, beliau dilaporkan menjadi pemain dengan bayaran tertinggi dalam sejarah bola sepak dengan gaji tahunan sebanyak £177 juta (RM1.04 bilion).

Kontrak asalnya dijadual tamat pada Jun 2025, namun beliau menandatangani lanjutan selama dua tahun lagi – dilaporkan bernilai lebih AS$400 juta (RM1.9 bilion) – yang akan mengekalkannya di kelab tersebut melebihi usia 42 tahun.

Sementara itu, bintang Argentina dan penyerang Inter Miami, Lionel Messi, yang pernah bersaing lama dengan Ronaldo di liga Sepanyol, dilaporkan telah meraih lebih AS$600 juta (RM2.7 bilion) dalam gaji sebelum cukai sepanjang kariernya.

×