fbpx

RM9 Bilion Tangani Masalah Pengangguran, Kekalkan Pekerjaan Rakyat

Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan yang kerajaan akan memperuntukkan dana sebanyak RM9 billion untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan rakyat dalam negara dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negara ekoran wabak COVID-19.

Peruntukkan itu termasuk melanjutkan program Subsidi Upah yang diperkenal dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan sebelum ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM5 bilion.

Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan.

Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kali ini, kerajaan mewujudkan inisiatif dengan memberikan insentif RM600 kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan.

Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion pula menyediakan insentif RM800 gaji bagi penganggur bawah 40 tahun dan RM1,000 untuk penganggur berusia lebih 40 tahun dan OKU.

Kerajaan juga akan peruntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka menganggur dan golongan belia sekaligus manfaatkan lebih 200,000 orang.

“Saya tahu ramai dalam kalangan masyarakat yang bimbang akan risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak sektor dan aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini”

“Saya faham ekonomi akan mengambil masa untuk pulih dan terdapat golongan masyarakat yang masih perlukan bantuan sepanjang pemulihan ekonomi,” ujar PM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. (rtky/m)