Sudah memendam hasrat sejak Januari lalu, pelakon Riz Amin nekad untuk melakukan rawatan menanam semula rambut selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Menjalani rawatan tersebut di sebuah klinik anestetik popular di ibu kota, Riz berkata dia melakukan rawatan berkenaan kerana berdepan masalah keguguran rambut terutama di bahagian hadapan kepala.
“Sebenarnya saya bercadang untuk melakukan rawatan tanam rambut ini sejak awal tahun lagi tetapi terhalang dengan penggambaran dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemudiannya.
“Banyak produk yang saya telah cuba tapi ia hanya menguatkan akar rambut yang sedia ada bukannya mampu menumbuhkan semula kawasan rambut yang sudah botak,” katanya kepada Astro Gempak.
Setiap helai berharga RM6, Riz berkata sebanyak 4,083 helai rambut diambil dari bahagian belakang kepalanya untuk ditanam semula di bahagian hadapan.
“Bagi saya pelaburan ini berbaloi untuk kepuasan diri saya dan mendapatkan semula keyakinan untuk berlakon.
“Ketika prosedur itu tak rasa sakit pun cuma selepas ubat bius habis terasa berdenyut-denyut. Apabila waktu malam pula nak tidur tak tentu arah jugalah sebab bahagian belakang kepala luka,” katanya.
Dalam pada itu, Riz mengharapkan hasil yang memberansangkan dan tempoh penumbuhan semula rambut baharunya itu mengambil masa empat hingga tujuh bulan.