Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif menjelaskan bahawa usaha membawa semula Formula Satu (F1) ke Malaysia ketika ini amat sukar kerana melibatkan kos penganjuran yang terlalu besar, mencecah lebih RM300 juta setahun.
Menurut beliau, selain beban kewangan, senarai menunggu untuk menjadi tuan rumah juga panjang dan memberi impak besar kepada operasi kewangan SIC.
“Kita tidak mahu ulang kesilapan lalu. Malaysia melepaskan F1 pada 2017, dan kini amat sukar untuk mendapatkannya kembali. Harap perkara sama tidak berlaku kepada MotoGP,” katanya.
Azhan menjelaskan, yuran perlumbaan sahaja mencecah AS$70 juta (kira-kira RM330 juta), belum termasuk kos persiapan tambahan antara RM10 juta hingga RM20 juta.
Walaupun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan F1 kembali ke Sepang sekiranya mendapat sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak.
“Bukan SIC sahaja yang mahu F1 kembali, malah ramai pihak lain juga. Kita boleh lihat contoh Singapura yang mendapat sokongan penuh kerajaan, sektor korporat dan industri perhotelan. Kalau Malaysia mahu, pendekatannya mesti sama.
“Perlu difahami, F1 dan MotoGP bukan sekadar acara SIC, sebaliknya acara nasional yang membawa nama negara,” jelasnya.
Malaysia pernah menganjurkan F1 di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dihentikan kerana kos tinggi, minat penonton yang merosot serta jualan tiket yang tidak memberangsangkan. Namun sejak diambil alih Liberty Media pada 2017, F1 kembali popular menerusi siri dokumentari Drive to Survive di Netflix dan perlumbaan pecut yang diperkenalkan sejak 2021.
Buat masa ini, SIC masih menjadi penganjur tetap MotoGP Malaysia dengan edisi tahun ini dijangka menarik lebih 200,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan pada 24 hingga 26 Oktober depan.