RM2 Bilion STR Diagih Kepada 8.6 Juta Penerima Esok

Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 melibatkan peruntukan RM2 bilion akan diagihkan kepada lebih 8.6 juta penerima bermula esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pengagihan STR itu merupakan antara langkah Kerajaan MADANI untuk meringankan kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Beliau menjelaskan, setiap individu yang layak akan menerima sehingga RM650 dengan peningkatan seramai 300,000 penerima daripada 8.3 juta penerima bagi Fasa 1, Januari lalu.

Peningkatan berkenaan adalah hasil keputusan membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak, kata Perdana Menteri.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak. Ia agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan MADANI komited memastikan bantuan STR benar-benar sampai kepada golongan sasar

Sementara itu Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Kata MOF, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh scammer bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.

×